Pikap bertembung MPV: Tiga terpelanting dari kenderaan, seorang kanak-kanak maut


MIRI—Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam nahas jalan raya melibatkan dua kenderaan yang berlaku berhampiran rumah panjang di Kilometer 17, Jalan Bakam Persisiran Pantai di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali Aiden Chiang Yong Jun, 6, beralamat di RPR Kidurong, Jalan Tanjung Kidurong.


"Kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi melibatkan sebuah kenderaan pikap yang bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama empat penumpang berusia antara 3 hingga 39 tahun dipercayai datang dari arah Bekenu menghala ke Miri manakala MPV dipandu seorang lelaki, 63, bersama dua penumpang wanita masing-masing berusia 51 dan 61 tahun datang dari arah Miri menghala ke Bekenu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya lagi, sampai di tempat kejadian pikap tersebut gagal dikawal disyaki dipandu laju lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh MPV di bahagian hadapan dan terbalik.

"Akibat dari impak perlanggaran, tiga penumpang pikap tersebut terpelanting keluar dari kenderaan dan seorang daripadanya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Miri," tambah Alexson.


Sementara pemandu dan penumpang MPV katanya turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Miri.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya lagi, polis telah melawat lokasi kemalangan dan kenderaan terlibat ditarik ke Balai Polis untuk tindakan lanjut.
Next Post Previous Post