PGA siap sedia, pantau kawasan pintu masuk

Komando Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan dan sekatan jalan raya di perbatasan Borneo, Malaysia dan Kalimantan, Indonesia. Gambar ihsan Majlis Keselamatan Negara. Gambar dari koleksi arkib Borneo Network 2022

KUALA LUMPUR—Pasukan Gerakan Am (PGA) telah diatur gerak untuk membuat pemantauan rapi di kawasan berhampiran pintu masuk negara sebagai persediaan pembukaan sempadan Malaysia pada 1 April ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tumpuan diberikan kepada kawasan utara Semenanjung, Pantai Timur Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak.


“Program turut akan dilancarkan di Kota Bharu, Kelantan dan Kedah oleh PGA untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa polis telah bersiap sedia untuk menangani apa juga perkara yang timbul susulan pembukaan sempadan ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran buku ‘Jenayah Siber di Malaysia’ oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Asia 2022, di sini, hari ini.


Pada September tahun lepas, PGA menjadi agensi tunggal dalam penugasan keselamatan dan penguatkuasaan sempadan negara susulan penstrukturan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) ke dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilapor berkata bahawa PGA akan meneruskan semua fungsi yang sebelum ini dilaksanakan AKSEM di kawasan sempadan melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post