Petronas Dagangan rancang jual LPG Sarawak kepada Petros
Gambar arkib |
KUALA LUMPUR— Petronas Dagangan Bhd (PetDag) berkata ia merancang menjual perniagaan gas petroleum cecairnya (LPG) kepada PetrosNiaga Sdn Bhd (PNiaga) dan melanggan 49 peratus pegangan dalam PNiaga sebagai sebahagian daripada pindahan perniagaan dan perjanjian langganan saham (BTSSA) dengan PNiaga and Petroleum Sarawak Bhd (PETROS).
PNiaga adalah anak syarikat milik penuh PETROS.
PetDag berkata BTSSA itu menggariskan tiga cadangan urus niaga, iaitu pembayaran tunai RM40 juta daripada PNiaga kepada PetDag, peruntukan dan penerbitan 49 peratus pegangan dalam PNiaga kepada PetDag atau syarikat sekutu milik penuhnya serta pembayaran luar jangka sehingga RM40 juta oleh PETROS kepada PetDag.
Di bawah perjanjian itu, PetDag akan memegang 49 peratus ekuiti dalam PNiaga dan akan memasarkan silinder LPG berjenama PETROS kepada pelanggan is irumah dan komersial di Sarawak selepas BTSSA selesai.
“Cadangan urus niaga itu akan membawa kepada perkongsian strategik jangka panjang dengan PETROS dalam membangunkan perniagaan LPG di Sarawak,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
“Dengan bekerjasama bersama PETROS, sinergi yang dicapai dengan memanfaatkan kekuatan, pengalaman dan kecekapan kedua-dua syarikat dijangka dapat memaksimumkan nilai bagi pelanggan kami di Sarawak,” katanya.
--BERNAMA