Perompak pandu Toyota Alphard larikan peti wang, arak ditahan


MIRI—Pihak polis mengambil masa kurang tempoh 24 jam, menangkap empat sekawan dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Jalan Kampung Luak, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari berkata, kesemua suspek berusia antara 32 sehingga 52 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Riam sekitar jam 6.15 petang.

Beliau berkata, tangkapan itu susulan laporan mangsa yang memaklumkan rumahnya telah dipecah masuk sekitar jam 2.30 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati tiga daripada empat suspek adalah warga Indonesia dan tidak mempunyai dokumen sah.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi polis menunjukkan kelibat suspek memecah masuk dan melarikan beberapa barangan elektronik termasuk sebuah peti besi mengandungi wang tunai RM3,000 dan beberapa botol arak pelbagai jenama.

“Kesemua suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian bersama barangan curi menggunakan sebuah kereta mewah jenis Alphard berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan.

Hakemal menambah, polis turut melakukan pencarian di sekitar tepi jalan Miri-Bintulu bagi mencari peti besi yang disyaki telah dibuang salah seorang suspek selepas kejadian pecah masuk tersebut.

Anggaran kerugian sekitar RM12,000.

Hakemal menambah, kesemua suspek dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri dan siasatan awal mendapati tiga daripada empat suspek adalah warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Next Post Previous Post