Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati

Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman (tiga kiri) tiba di Kompleks Mahkamah petaling Jaya hari ini, untuk menghadapi pertuduhan bekalan dadah. Gambar kredit BERNAMA

PETALING JAYA—Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah di sebuah kondominium di Kota Damansara.

Muhammad Yasin, 47, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T berwarna hitam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan menanam pokok itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengedar dadah, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Sesyen, pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis boleh diperoleh sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya di Kondominium Casa Indah, Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohammad Al-Saifi Hashim dan TPR Asnawi Abu Hanipah manakala Muhammad Yasin diwakili peguam Yusmaidi Yusoff.

Di Mahkamah Majistret, bapa kepada dua anak itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dijatuhkan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohammad Al-Saifi tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua kes itu kerana jika didapati bersalah, tertuduh berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Mohd Yusmadi memohon anak guamnya diberikan jaminan atas alasan dia mengalami penyakit bipolar dan menerima rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaaan Malaysia sejak 2009.

“Dua bulan sebelum ditangkap oleh pihak polis, anak guam saya menerima rawatan di Hospital Pantai. Dia juga mengalami masalah kesihatan dan perlu dibantu untuk mendapatkan rawatan sewajarnya. Dia sering memberi inspirasi kepada masyarakat dengan karyanya dan anak guam saya baru bercerai serta mempunyai anak kecil dan ibu bapa yang sudah tua. Diharap mahkamah mengambil kira faktor-faktor ini untuk memberikan jaminan,” katanya.

Muhammad Yasin kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia memerlukan ubat tambahan kerana dikhuatiri kesihatannya terjejas dan bila-bila masa boleh jadi gila kerana sebelum ini kejadian sedemikian sudah tiga kali berlaku dalam tempoh 10 tahun.

Mohammad Al-Saifi kemudian berhujah berdasarkan Seksyen 41(B) Akta Dadah Berbahaya tidak membenarkan jaminan diberikan membabitkan kes di bawah peruntukan itu dan tertuduh tidak wajar diberikan jaminan selain mengenai isu perubatan, tertuduh boleh mendapatkan rawatan di penjara.

Kedua-dua mahkamah menolak permohonan jaminan dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan tertuduh boleh mendapatkan rawatan atas budi bicara penjara.

Sementara itu, abang kepada Muhammad Yasin, Zain, 50, ketika ditemui pemberita berkata dua anak saudaranya (anak Muhammad Yasin) masing-masing berusia 17 dan 12 tahun reda dengan keadaan yang menimpa bapa mereka dan setia menunggu kepulangannya serta keluarga turut mendoakannya dipermudahkan urusan.

Pada 25 Mac lepas, media melaporkan semasa serbuan polis di kediaman penyanyi itu, menemukan 17 pokok dalam pasu di almari, di dapur dan di dalam sebuah bilik di rumahnya dipercayai pokok ganja dianggarkan bernilai kira-kira RM10,200.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post