Peningkatan kos bahan mentah punca kenaikan harga simen

Gambar hiasan kredit Unsplash

SEREMBAN—Kenaikan harga simen ketika ini adalah disebabkan peningkatan harga bahan mentah yang digunakan dalam proses pembuatan bahan tersebut terutama arang batu di pasaran antarabangsa, kata Pengarah Urusan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) Sharuddin Omar Hashim.

Beliau berkata kenaikan harga mentah lain termasuk arang batu kini meliputi 30 hingga 40 peratus daripada kos pengeluaran simen yang menyebabkan syarikat pengeluar sebagai pemain industri tidak mempunyai pilihan untuk menaikkan harga simen.

Menurutnya kenaikan harga arang batu ketika ini didorong oleh faktor larangan eksport oleh Indonesia serta berlakunya konflik Rusia-Ukraine.

"Harga arang batu sebelum ini di luar sana dalam lingkungan AS$60 (RM252) hingga AS$70 (RM294) satu tan, namun kini telah meningkat kepada AS$200 (RM842) satu tan dan berkemungkinan boleh mencecah sehingga AS$400 (RM1,685).

"Larangan eskport dari Indonesia ke luar negara dan konflik Rusia dengan Ukraine menyebabkan kesulitan mendapatkan bekalan arang batu sekali gus menyebabkan kenaikan harga mentah itu," katanya kepada pemberita pada Sesi Taklimat Media dan Jamuan Apresiasi di sini hari ini.

Beliau berkata bahan-bahan mentah lain dalam pengeluaran simen juga telah naik agak tinggi berikutan pandemik COVID-19  selain masalah kesesakan dari segi logisitik dan pengagihan.

Sharuddin berkata pihaknya cuba sedaya upaya mengoptimumkan pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran menerusi penggunaan barang alternatif lain.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post