Penerima pertama jantung babi meninggal dunia
David Bennett, rakyat Amerika berusia 57 tahun, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Maryland (UMMC).
Doktor tidak mendedahkan punca sebenar kematian, sekadar memaklumkan kesihatannya mula merosot sejak beberapa hari lalu, lapor Xinhua.
“Tiada faktor yang jelas dikenal pasti akibat kematiannya,” kata jurucakap hospital.
Bennett menjalani pembedahan pertama seumpamanya pada 7 Jan di hospital berkenaan.
Beliau dianggap tidak layak untuk pemindahan jantung konvensional, dan pemindahan organ babi yang diubahsuai secara genetik itu merupakan satu-satunya pilihan untuk beliau ketika itu, menurut UMMC.
-- BERNAMA