Pendaki maut selepas hilang tenaga daki Gunung Tahan

Gambar hiasan

KUANTAN—Seorang peniaga yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan disahkan meninggal dunia hari ini, selepas didakwa tidak sihat dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu.  

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, dari Petaling Jaya, Selangor difahamkan meninggal dunia pada 12.30 tengah hari, kira-kira 13 kilometer dari pintu masuk Kuala Juram yang merupakan lokasi permulaan pendakian.

Mangsa difahamkan menyertai pendakian itu bersama 11 rakan lelaki semuanya dari Selangor pada Sabtu lepas (12 Mac) dengan dipandu arah oleh dua malim gunung dan ekspedisi tersebut sepatutnya tamat hari ini. 

"Keterangan awal malim gunung mendakwa mangsa mulai lemah selepas mengalami cirit-birit selama dua hari menyebabkan dia tidak mampu untuk makan semasa mereka dalam perjalanan turun. 

"Keadaan itu menyebabkan mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis sekitar pagi tadi bagi meminta bantuan selepas mangsa kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Azli berkata pihaknya segera membuat permohonan bagi mendapatkan helikopter polis untuk membawa mangsa turun, namun difahamkan mangsa telah meninggal dunia. 

Helikopter yang membawa jenazah mangsa mendarat di padang awam Kuala Lipis dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi bedah siasat. 

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post