Pencuri kempunan jual buah sawit

Gambar kredit JSJ IPD Miri

MIRI— Cubaan seorang lelaki warga tempatan mencuri buah kelapa sawit dari sebuah ladang di Bungai, Sibuti di sini tidak membuahkan hasil apabila ditangkap polis petang semalam.

Suspek berusia 34 tahun itu diberkas di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sulap Lada sekitar jam 6 petang oleh sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bekenu.

Tangkapan dibuat selepas pihak polis dimaklumkan mengenai penemuan longgokan buah kelapa sawit dipercayai telah dikumpul sehari sebelum oleh suspek.


Difahamkan suspek tidak sempat mengangkut buah tersebut kerana melarikan diri selepas terdengar bunyi kenderaan bergerak masuk ke dalam ladang tersebut.

Malah, kerana cemas dan takut, suspek tertinggal motosikal miliknya di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Next Post Previous Post