Pemuda maut motosikal bertembung kereta di Jalan Batu Kawa-Matang


KUCHING: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Batu Kawa-Matang di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa Ian Garvin Collin, 24, bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa, beralamat dari RPR Taman Malihah, Jalan Belatok.

Jelasnya, kemalangan dipercayai berlaku jam 8.40 malam di Jalan Batu Kawa-Matang melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dan motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa.



"Kemalangan berlaku semasa pemandu kereta datang dari Taman Malihah menuju ke Matang Jaya dan apabila sampai Jalan Batu Kawa Matang dan sedang bergerak lurus tiba-tiba keretanya telah dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah bertentangan telah masuk ke laluan kereta tersebut.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta tidak cedera manakala penunggang cedera parah pada bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas," katanya dalam kenyataan hari ini.



Tambahnya, mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Tegas Alexson, kes masih dalam siasatan lanjut.



Jelas beliau, kenderaan terlibat telah dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post