Pelawak Amran Tompel meninggal dunia

Gambar kredit Kampung Mamak

SEREMBAN—Pelakon dan pelawak Amran Aman Ramli atau dikenali sebagai Amran Tompel, 72, meninggal dunia di kediaman anaknya di Taman Matahari Height, Senawang, di sini kira-kira 4.40 petang Sabtu.

Menurut anak keduanya, Shafiq Amran, 28, allahyarham sebelum ini sudah lama terlantar berikutan pelbagai penyakit dialaminya termasuk darah tinggi, diabetes dan angin ahmar.

“Walaupun ayah dah lama terlantar sakit, tapi dia masih boleh bercakap dan memahami apabila orang bercakap dengan dia, cuma sejak tiga, empat hari kebelakangan ini dia dah kurang selera makan.

“Ketika kejadian ada adik saya yang bongsu, saya dalam perjalanan memang hendak balik ke sini, lepas itu adik telefon sambil nangis, masa itu saya tahu ayah dah tiada, jenazah dijangka akan dikebumikan esok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Difahamkan Amran sebelum ini dilaporkan pernah beberapa kali diserang angin ahmar termasuk ketika fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Allahyarham meninggalkan empat anak berusia antara 22 hingga 29 tahun.

Amran adalah anak kepada pelakon, pelawak dan pengarah Allahyarham AR Tompel dan aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post