Padah kerana tamak, bekas majistret dipenjara 58 tahun, denda RM1.05 juta


KUANTAN—Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap bekas majistret selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, kira-kira dua tahun lepas. 

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan Mohamad Amin Shahul Hamid, 41, menjalani hukuman penjara tambahan 72 bulan, jika tertuduh yang sebelum ini berkhidmat di Lipis dan Raub, gagal menjelaskan denda tersebut. 

Bagaimanapun, Ahmad Zamzani membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermaksud tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, selain membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, kerana ingin merayu ke Mahkamah Tinggi. 

Bagi tujuan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dinaikkan menjadi RM50,000 selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dilanjutkan sehingga selesai rayuan. 

Pada penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata pembelaan tertuduh yang diberikan secara bersumpah hanya berbentuk pemikiran semula dan penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap semua pertuduhan. 

Mahkamah, menurut beliau setelah meneliti keterangan dan hujahan pihak terlibat memutuskan keterangan kesemua 15 saksi pendakwaan terutamanya saksi terakhir iaitu peniaga Hassan Basri Ahmad Sutan Modo (SP15) yang didakwa memberi suapan itu, sebagai saksi boleh dipercayai dan utuh. 

"Keterangan tertuduh bahawa dia berada dekat dengan kedai SP15 pada 22 Okt 2019 untuk membeli air adalah kali pertama didengari mahkamah di peringkat pembelaan. Perkara ini tidak pernah dicadangkan atau dibangkitkan pada mana-mana saksi pendakwaan. 

"Keterangan kecederaan dialami tertuduh juga tidak pernah dibangkitkan atau dicadangkan kepada pegawai penyiasat. Mahkamah juga dapati hujahan pembelaan bahawa keterangan lisan tertuduh tidak pernah bersetuju meminta atau menerima rasuah adalah tidak berasas, tidak munasabah dan tidak diterima," katanya. 

Tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Okt 2019, yang didakwa sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam S. Meheraj yang hadir mewakili peguam tertuduh RSN Rayer, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM selain tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan menghidap asma. 

"Tertuduh juga telah digantung kerja dari 2019 dan kini menerima separuh gaji. Bagi menampung kehidupan, dia membantu bapa saudaranya mengusahakan bendang di Sungai Petani, Kedah," katanya. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menghujahkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran perlu diberikan kerana kes itu melalui perbicaraan penuh, selain tertuduh telah membuat persediaan untuk melakukan jenayah. 

Selain itu, sikap tertuduh yang tidak menggunakan orang tengah, sebaliknya berjumpa sendiri SP15 untuk mengutip wang menunjukkan dirinya tidak mempunyai perasaan 'segan' selain tamak kerana melihat peluang untuk memeras ugut mangsa, selepas mengetahui SP15  dituduh buat kali kedua. 

"Tertuduh sanggup menelefon SP15 dan menjual nama Pengarah Pendakwaan Pahang dan mengugut SP15 akan dipenjarakan jika tidak membayar suapan. Tertuduh boleh diibaratkan sebagai ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. 

Tertuduh telah memalukan sistem kehakiman dan penjawat awam," katanya. 

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post