Operator maut, kereta masuk lorong bertentangan


MUKAH— Seorang operator maut selepas kereta dipandunya memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bukut, Mukah pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai John Inti, 43, beralamat di RH Inti Batu 26, Sungai Bedengan Ulu Mukah. 


"Semasa kejadian sekitar jam 7.20 pagi, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun bergerak dari arah simpang Bukut Mukah menuju ke arah sebuah loji jana kuasa di Balingian.

“Ketika tiba di selekoh di Jalan Bukut, tiba-tiba sebuah kereta memasuki lorong bertentangan lalu bertembung dengan lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 


Alexon berkata, akibat pertembungan itu pemandu kereta cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tegas Alexson, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan Jabatan Kimia.

Mayat mangsa kemalangan dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Next Post Previous Post