Mengaku ambil dadah, ibu Eric didenda

Gambar hiasan

KUCHING—Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 ke atas ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu, atas kesalahan mengambil dadah.

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Majistret Zubaidah Sharkawi mengenakan hukuman itu ke atas Dynasty Chang Ka Hui, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.  

Pada masa sama beliau menetapkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, Majistret Zubaidah juga memerintahkan tertuduh untuk menjalani pengawasan selama dua tahun sekiranya selesai membayar denda atau menjalani hukuman.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa memasukkan dadah berbahaya yang terkandung dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam tubuh badan sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuching Sarawak pada 12 Jun 2017, sekitar jam 3.20 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang mana jika disabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki menjalani pengawasan serta merta selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Difahamkan, setakat berita ini ditulis, tertuduh dilaporkan gagal membayar denda terbabit.

Sebelum ini, Eric dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu semasa dijaga oleh pengasuhnya di sebuah kawasan perumahan di Bintawa.

Polis juga telah menghentikan operasi pencarian Eric di sekitar perairan sungai Muara Tebas di sini yang bermula sejak 13 Mac, pada jam 6 petang, 19 Mac lalu.
Next Post Previous Post