Malaysia, China meterai Mou dalam bidang perubatan tradisional

Gambar kredit BERNAMA

PUTRAJAYA— Malaysia dan China hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangun dan memperkukuhkan bidang perubatan tradisional menerusi kerjasama dari segi amalan, pendidikan, latihan serta penyelidikan. 

MoU tersebut ditandatangani Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Pesuruhjaya Pusat Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan (NATCM) Dr Yu Wen Ming secara dalam talian hari ini.

MoU dalam bidang perubatan tradisional itu merupakan keseinambungan daripada MoU State Administration of Traditional Chinese Medicine (Pentadbiran Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan) yang pernah ditandatangani Malaysia dan China pada 7 Nov 2011 dan ia telah berakhir tahun lepas.

Khairy dalam ucapan pada majlis itu berkata MoU itu adalah satu komitmen untuk menggalak, mempermudah dan mempromosi kerjasama antara kedua-dua negara baik dari segi amalan, bahan mentah dan produk, pendidikan dan latihan serta penyelidikan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) berharap rangkaian komunikasi yang berkesan dapat terus dimantapkan bagi tujuan pertukaran maklumat teknikal, saintifik dan kawal selia.

“Ia seterusnya akan memudahkan proses pembuatan dasar dan strategi yang bersesuaian dalam memastikan penggunaan perkhidmatan dan produk perubatan tradisional yang selamat dan berkesan untuk kesejahteraan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata pengetahuan dan kepakaran luas yang dimiliki oleh China dalam perubatan tradisional akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam aktiviti penyelidikan termasuklah dari aspek pencegahan dan rawatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit. 

“Hasil kajian berkenaan akan membantu kerajaan Malaysia dalam menetapkan dasar yang bersesuaian untuk mengurangkan beban penyakit di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata KKM komited bagi membangunkan bidang perubatan tradisional dan komplementari dengan visi untuk mengintegrasikannya dengan bidang perubatan moden sebagai suatu usaha meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup semua rakyat Malaysia. 

“Bagi mencapai visi ini, industri perubatan tradisional dan komplementari akan diprofesionalkan dengan memastikan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari adalah selamat, berkualiti dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

MoU tersebut adalah selaras dengan aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan yang mengiktirafkan sumbangan sistem perubatan tradisional dalam melengkapkan sistem perubatan konvensional serta membolehkan negara bergerak ke arah kesihatan yang lebih baik, katanya.

Sementara itu, Yu berkata MoU antara China dan Malaysia itu akan memperkukuh kerjasama perubatan tradisional antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post