Langgar lari, remaja balik kerja maut


KOTA SAMARAHAN-- Seorang pemuda berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali Nizarman Shah Mohd Nazrul Nizam berasal dari Kampung Tanjung Kelaso, Sadong Jaya.

Jelasnya, pada jam 6.30 petang Ahad terima panggilan dari cawangan gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan bahawa ada satu kemalangan maut jalan raya.

"Hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.05 petang semasa mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan pulang dari tempat kerja iaitu dari arah Kota Samarahan menuju ke rumah di Sadong Jaya.

"Semasa bergerak lurus dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti yang datang dari arah bertentangan, iaitu Sadong Jaya menuju Kota Samarahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Alexson, motosikal mangsa tidak mengalami kerosakan teruk dan hanya calar pada bahagian sisi kanan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian yang telah disahkan oleh pihak ambulan yang tiba," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang ada menyaksikan kejadian ini tampil ke balai polis berdekatan untuk memberi maklumat.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post