Laluan ‘maut’ di Jalan Bakun-Belaga perlu diperbaiki
Gambar yang diambil oleh netizen semasa dalam perjalanan balik dari Bintulu menuju ke Belaga pada Ahad lepas. Jalan yang rosak dan berlubang ini berhampiran Highway Cafe, Bakun. |
BELAGA— Walapun sudah banyak aduan dibuat berhubung kerosakan Jalan Bakun - Belaga, namun sehingga kini belum ada tanda jalan itu akan diperbaiki.
Keadaan ini menimbulkan keresahan kepada pengguna, yang saban hari terpaksa berdepan dengan bahaya setiap kali menggunakan jalan itu untuk urusan harian.
“Jalan ini terutama laluan ke Tubau sehingga simpang Belaga perlu diperbaiki segera memandangkan ia mengalami kerosakan teruk dan berlubang. Ini mengundang risiko kepada kami yang hampir setiap hari berulang-alik atas urusan kerja.
“Kami berharap pihak berwajib mendengar keluhan pengguna jalan raya, tidak perlu menunggu kemalangan berlaku baru mengambil tindakan,” katanya yang enggan nama disiarkan.
Tambahnya, perkara itu kerap disuarakan menerusi media sosial dengan harapan pihak berwajib mengambil tindakan sepatutnya.
Beliau yang sudah bekerja di Belaga sejak 12 tahun lalu menambah, mereka terpaksa menggunakan jalan yang rosak teruk itu sejak lima tahun yang lalu.
“Di mana silapnya, laluan tersebut seolah-olah tidak diselenggara dengan baik walaupun ia menghubungkan bandar Bintulu dengan projek mega Empangan Bakun di Belaga,” katanya.
Difahamkan, kawasan terbabit di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum.
Sebelum ini, netizen memuat naik beberapa keping gambar di Facebook dan secara lantang mahu wakil rakyat mengambil tindakan segera.