Lagi wakil rakyat disahkan positif COVID-19

Kredit gambar Mohammad Hafiq Bin Weini

KUCHING: Selepas beberapa wakil rakyat disahkan positif COVID-19 termasuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kini Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr Juanda Jaya pula dijangkiti wabak itu.

Beliau menerusi akaun rasmi Facebooknya memberitahu, dirinya merasakan tidak sihat pada Isnin lalu. 

 
"Malam Isnin 7 Mac lepas saya merasa badan kurang selesa dan sedikit selsema. Tengah hari Selasa 8 Mac saya melakukan ujian kendiri RTK COVID19. Ujian itu mendapati dua garisan merah yang membawa erti saya positif COVID19," katanya.

Dr Juanda menambah, beliau telah melaporkan keputusan itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, beliau juga telah mula melakukan isolasi diri serta merta seperti yang diarahkan oleh pihak KKM.

"Perintah Kuarantin saya adalah hingga 14 Mac 2022.

"Saya juga telah memaklumkan kepada kontak rapat saya akan perkara ini dan mereka telah melakukan ujian kendiri dan Alhamdulillah mereka negatif," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mohon maaf atas kesulitan yang tidak dijangka ini kepada sesiapa sahaja kerana tidak ada siapa tahu dari mana punca takdir penyakit ini.

"Saya tidak mengalami apa-apa simptom kecuali hanya sedikit selsema sahaja.

"Doakan kesihatan saya dan semoga wabak penyakit ini segera diangkat oleh Allah SWT," tambahnya.
Next Post Previous Post