Lagi kanak-kanak 12 tahun jadi korban akibat COVID-19 di Sarawak, 631 kes baharu
Gambar hiasan kredit KKM |
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dari Serian itu dilaporkan pada 24 Mac lalu yang meninggal dunia di Hospital Serian.
"Kanak-Kanak ini mempunyai latar belakang penyakit atau komorbid Cerabral Palsy," katanya dalam kenyataan hari ini.
Satu lagi kematian pula kata JPBNS melibatkan seorang lelaki berusia 51 yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sibu pada 25 Mac lalu.
Jelasnya, pesakit mempunyai latar belakang penyakit iaitu darah tinggi, dislipidemia, penyakit jantung serta paru-paru obstruktif kronik.
Mengenai jumlah kes positif baharu COVID-19, jawatankuasa itu memaklumkan sebanyak 631 kes dikesan di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 295,430.
Daripada jumlah itu, katanya, 415 kes kategori dua (gejala ringan) manakala 212 kategori satu (tiada gejala), dua kategori tiga (jangkitan paru-paru) dan satu kes masing-masing kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).
Tambahnya, Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu 191 diikuti Miri (118), Bintulu (69), Sibu (61), Serian (24), Sri Aman (17), Bau (15),Sarikei (13), Simunjan (13), Subis (13), Mukah (11) dan Matu (11).
Daerah lain, Betong (6), Saratok (4), Dalat (3), Kapit (3), Tebedu (3), Asajaya (3), Kabong (3), Lundu (2), Kanowit (2), Tatau (2), Marudi (1), Daro (1), Lubok Antu (1), Lawas (1), Telang Usan (1), Julau (1), Beluru (1), Sebauh (1) dan Selangau (1).
Selain itu, JPBNS memberitahu Kluster Lorong Cahaya Maju, Kuching diisytiharkan tamat menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak adalah tujuh kluster.