Kuching kekal sumbang kes positif tertinggi di Sarawak

Gambar hiasan kredit unsplash

KUCHING—Daerah Kuching kekal menyumbangkan jumlah kes positif baharu tertinggi di Sarawak dengan 531 kes daripada 1,316 kes baharu hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, selain Kuching, dua lagi daerah merekodkan jumlah kes tiga angka adalah Miri dengan 158 kes dan Bintulu 106 kes.

"Daripada jumlah kes positif baharu ini, kategori satu (tiada gejala) 393 kes, kategori dua (gejala ringan) 912 kes, kategori tiga (jangkitan paru-paru) empat kes, kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksiden) enam kes dan satu kes kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dengan jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Sarawak meningkat kepada 285,818 kes.

Mengulas lanjut jumlah kes di setiap daerah, JPBNS berkata, Sibu 89 kes, Samarahan (74), Serian (45), Sarikei (44), Bau (38), Saratok (19), Tanjung Manis (17), Limbang (15), Sri Aman (14), Asajaya (13), Tebedu (13), Betong (12), Kabong (12), Mukah (11), Pusa dan Pakan masing-masing 10 kes.

Sementara dua daerah tidak merekodkan kes positif baharu iaitu Sebauh dan Song.

Selain itu, JPBNS memaklumkan dua kematian direkodkan iaitu masing-masing pada 13 Mac 2022 dan 17 Mac 2022 melibatkan dua wanita.

Kematian pertama wanita berusia 84 tahun di Serian yang mana jenazah dibawa ke Hospital Serian dan pesakit mempunyai komorbid iaitu darah tinggi dan penyakit jantung.

Kematian kedua pula wanita berusia 55 tahun di Kuching yang meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak dan pesakit mempunyai komorbid iaitu darah tinggi, kencing manis, dislipidemia dan penyakit buah pinggang kronik.

Pada masa sama jawatankuasa itu memberitahu tiada kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak kekal 5 yang mana Kluster DTI Semuja 3, Serian merekodkan penambahan dua kes positif baharu.
Next Post Previous Post