KPM teliti garis panduan, prosedur kemasukan kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah
Kanak-kanak di salah sebuah kawasan pedalaman Sarawak. Gambar arkib |
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sementara penelitian itu dilaksanakan, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 1/2009: Kemasukan Kanak-kanak Warganegara Tanpa Dokumen ke Sekolah dan Surat Siaran KPM Bilangan (3) Tahun 2018: Permohonan Kemasukan Sekolah Murid Bukan Warganegara masih berkuat kuasa.
"Untuk makluman Yang Berhormat, tidak ada sebarang perubahan kepada dasar ataupun pekeliling baharu yang dikeluarkan selain daripada (surat) yang ada bertarikh 11 Mac 2009 dan 15 Jan 2018.
"KPM menyedari terdapat kes-kes di mana anak-anak warganegara tidak dapat meneruskan pendidikan di sekolah rendah. Justeru sebarang isu yang timbul berhubung perkara itu akan dipertimbang berdasarkan maklumat kes dan tertakluk kepada peraturan serta undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Radzi berkata Kementerian Pendidikan juga mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan dalam meneliti semula garis panduan berhubung perkara itu.
Sementara itu beliau turut menjelaskan Zero Reject Policy (ZRP) bukan merujuk kepada kemasukan murid tanpa dokumen ke sekolah, sebaliknya ia merujuk kepada penempatan persekolahan murid berkeperluan khas di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tanpa menafikan hak mereka untuk menerima pendidikan di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
-- BERNAMA