Kluster baharu libatkan pelajar asrama di Lubok Antu

Gambar hiasan

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan satu lagi kluster baharu melibatkan pelajar asrama di Lubok Antu, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Jelasnya, kluster itu dinamakan Kluster Jalan Batu Kaya, Lubok Antu yang merupakan satu kluster institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikesan,


"Kes indek (kes-272141) bagi kluster ini merupakan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, warganegara yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala menggunakan ujian Rapid Test Kit Antigen pada 8 Mac 2022.

"Perebakan jangkitan dipercayai berpunca dari pergaulan dan kontak rapat dalam kalangan pelajar asrama tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas JPBNS, seramai 79 orang disaring dan daripada jumlah itu 28 orang didapati positif termasuk kes indeks manakala 51 individu didapati negatif.

Dalam pada itu, Kluster DTI Semuja 3, Serian merekodkan penambahan 48 kes positif baharu hari ini menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak adalah enam.

Selain itu, JPBNS memberitahu dua kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada 9 Mac masing-masing satu di Sibu dan Limbang melibatkan perempuan masing-masing berumur 89 dan 78 tahun yang dilaporkan meninggal di Hospital Sibu dan Hospital Limbang, kedua-dua mempunyai latar belakang komorbid.

Jawatankuasa itu turut memberitahu sebanyak 1,745 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak kini sebanyak 275,850.

Daripada jumlah itu, 762 kes adalah kategori satu, 961 kes kategori dua, satu kes kategori tiga, 18 kes kategori empat dan tiga kes kategori lima.

Kuching merekodkan jumlah kes harian tertinggi 776 diikuti Miri (197), Sibu (170), Bintulu (100), Serian (84), Samarahan (62), Bau (43), Sarikei (42), Kanowit (24), Sri Aman (23), Betong (20), Matu (19), Limbang (19), Mukah (18), Meradong (15), Kabong (13), Saratok (13), Simunjan (13), Daro (11), Marudi (11) dan Lawas (10).

Selain itu di Dalat (9), Pusa (7), Lundu (7), Subis (6), Asajaya (6), Kapit (5), Telang Usan (4), Pakan (4), Lubok Antu (3), Beluru (2), Tatau (2), Selangau (2), Song (2), Tebedu (2) dan Sebauh (1).
Next Post Previous Post