KKM lulus Cansino sebagai dos penggalak

Vaksin dos tunggal Convidecia CanSino telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan untuk digunakan sebagai pemvaksinan secara campuran atau dos penggalak heterologous. Gambar hiasan 

KUALA LUMPUR—Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Convidecia CanSino Bio (CanSino) untuk digunakan sebagai dos penggalak heterologus (pemvaksinan secara campuran).

KKM dalam satu kenyataan di laman sesawangnya hari ini memaklumkan permohonan untuk dos penggalak jenis CanSino akan dibuka di MySejahtera tidak lama lagi.

Dalam kenyataan sama, KKM menyatakan mereka yang mengambil vaksin primer Sinovac atau Cansino Bio sesuai untuk mengambil vaksin ini sebagai dos penggalak.

“Manakala tempoh layak untuk pengambilan dos ini selepas dos primer adalah sekurang-kurangnya tiga bulan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan  Solution Group Bhd (SGB) Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata kelulusan KKM itu memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan vaksin untuk suntikan dos penggalak.

Anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn Bhd, merupakan rakan kongsi pembuatan ASEAN bagi vaksin Convidecia oleh CanSino Biologics Inc.

Mohd Nazlee berkata kelulusan itu juga bermakna Convidecia kini membantu usaha kerajaan untuk pemberian dos penggalak dalam memerangi varian Omicron terutamanya kumpulan berisiko.

"Penggunaan dos penggalak daripada vaksin berbeza dengan vaksin yang diberikan sebelum ini juga lebih berkesan dengan tindak balas imun lebih tinggi berbanding menggunakan vaksin sama untuk suntikan dos penggalak," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post