Kes kehilangan kanak-kanak 4 tahun, dua individu ditahan untuk siasatan


KUCHING: Polis menahan dua individu berkaitan kes kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun, Eric Chang Wei Jie yang dilaporkan hilang di Taman Riverview, Jalan Daya di Bintawa sejak Isnin lalu.

Memetik laporan Utusan Borneo Online Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, dua individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Mereka ditahan bagi membawa siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Di bawah seksyen itu, jika sabit kesalahan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Ahsmon berkata, kedua-dua suspek merupakan penjaga kepada kanak-kanak terbabit.

Semalam, Ahsmon berkata, polis menerima dilaporkan berhubung kehilangan kanak-kanak itu sekitar 7.42 malam pada 7 Mac lalu.

"Anggaran tinggi lebih kurang 100 sentimeter, bentuk badan kurus, berkulit kuning langsat, rambut pendek/lurus.

"Pakaian terakhir sebelum hilang 't-shirt round neck' warna biru gelap seluar pendek paras lutut warna hitam," jelasnya.

Tambahnya, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di lorong 2 Taman Riverview, Jalan Daya.

Justeru, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Hasmah Abdul Jalil di talian 013-6852210 atau hubungi IPD Kuching di talian 08-2244444.

Terdahulu, ibu kanak-kanak lelaki itu, Dynasty Chang Ka Hui, 24, semasa sidang media di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pending di sini semalam merayu kerjasama orang ramai untuk mencari anaknya itu.

Sebelum ini, dia membuat laporan polis di Balai Polis Bintawa sekitar jam 7.42 malam pada hari yang sama anaknya hilang.

Dalam laporan itu, ibu kanak-kanak tersebut menyedari kehilangan anaknya sekitar jam 9.15 pagi selepas menerima panggilan daripada penjaga kanak-kanak itu yang memaklumkan anak lelakinya telah hilang.

Selepas menerima berita kehilangan anaknya itu, dia berusaha mencari di kawasan tersebut, namun gagal dijumpai.

Sehingga berita ini ditulis, polis masih giat mencari kanak-kanak lelaki tersebut.
Next Post Previous Post