Kes COVID-19 di Sarawak kekal di bawah 1,000, tiga kematian

Gambar hiasan

KUCHING—Kes harian COVID-19 di Sarawak merekodkan jumlah di bawah paras 1,000 iaitu 813 kes positif baharu dengan tiga kematian hari ini, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Jawatankuasa itu memaklumkan dengan pertambahan jumlah kes positif baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 288,660.

"Kuching kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi tertinggi iaitu 277 kes diikuti Miri 128 kes, Bintulu (72), Sibu (61), Kota Samarahan (42), Limbang (36), Sarikei (33), Serian (26), Bau (17), Saratok (14), Mukah (13), Tanjung Manis (12) manakala Sri Aman dan Dalat masing-masing (10)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala lapan kes direkodkan di Meradong, Betong (tujuh), Lawas (enam), Asajaya (lima), Kabong (empat), Tebedu, Simunjan, Pusa, Lundu, Marudi, Subis dan Telang Usan masing-masing (tiga), Daro, Beluru dan Kanowit masing-masing (dua) manakala Lubuk Antu, Pakan, Kapit, Matu dan Selangau masing-masing (satu).

Mengulas lanjut, JPBNS berkata, daripada jumlah kes positif baharu itu, 285 kes melibatkan kategori satu (tiada gelaja) manakala 520 kes melibatkan kategori dua (gejala ringan), dua kes kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan enam kes kategori lima ( jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

Dalam pada itu, tiga kes kematian baharu direkodkan hari ini melibatkan golongan wanita iaitu satu kes di Sarikei dan dua kes di Kota Samarahan.

Jelasnya, kes di Sarikei melibatkan wanita berumur 57 tahun yang mempunyai komorbid iaitu darah tinggi, kencing manis penyakit buah pinggang kronik dan penyakit jantung.

Sementara dua kes kematian di Kota Samarahan, JPBNS memaklumkan, kes melibatkan wanita berumur 71 dan 86 yang juga mempunyai komorbid.
Next Post Previous Post