Kes COVID-19 di Sarawak hampiri angka 2,000, dua kematian
KUCHING: Kes harian COVID-19 di Sarawak kini menghampiri angka 2,000 apabila 1,903 kes baharu direkodkan hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,892 kes kategori satu dan dua manakala selebihnya, 12 kes kategori tiga hingga lima.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 270,415.
"Kategori satu (Tiada Gejala) 712 kes, kategori dua (Gejala Ringan) 1, 179 kes, kategori tiga (Jangkitan Paru-paru) enam kes, kategori empat (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Oksigen) lima kes, kategori lima (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Ventilator) satu kes.
"Daerah Kuching kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 754 kes diikuti Miri 217, Sibu 194, Bintulu 154, Samarahan 88, Serian 83, Bau 56, Matu 37, Sarikei 36, Limbang 33, Sri Aman 31, Tanjung Manis 26, Mukah 19, Betong 17, Saratok 15, Dalat 15, Lawas 14, Daro 13 dan Meradong 10," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah JPBNS, manakala daerah lain merekodkan jumlah kes di bawag 10 kecuali Bukit Mabong dan Song tiada kes positif baharu.
Selain itu, Sarawak merekodkan dua kes kematian melibatkan seorang warga emas lelaki, 67, mempunyai ko-morbid (buah pinggang tahap akhir) di Hospital Miri dan seorang wanita warga emas, 83 tahun, mempunyai Ko-morbid (darah tinggi dan dislipidemia), jenazah dibawa ke Hospital Umum Sarawak, kedua-dua kes dikesan pada 5 Mac lalu.
Jawatankuasa itu turut memaklumkan tiada kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kekal tiga.