Kes bunuh Ladang Paroh Suai, dua suspek dihadap ke mahkamah

Dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri, hari ini. Gambar kredit The Borneo Post

MIRI—Dua suspek kes bunuh seorang lelaki di sebuah ladang di Paroh, Suai pada 22 Februari lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Memetik Utusan Borneo, tidak ada pengakuan direkodkan daripada Diana Jangak, 35, bersama Tony Iri, 25, yang didakwa menyebabkan kematian Linggi Tedong.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia dan perubatan mangsa.

Majistret Leona Dominic Mojiliu membenarkan permohonan itu dan menetapkan 25 April depan untuk sebutan lanjut kes. Beliau memerintahkan kedua-duanya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu sebutan semula.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada 22 Februari di antara jam 4 petang dan 5 petang di sebuah ladang di Suai, Niah.

Pada 23 Februari, Polis Daerah Miri menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat satu mayat ditemukan di sebuah ladang di Paroh Suai, Niah.

Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan di kawasan tersebut telah menemukan mayat seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai meninggal dunia akibat dari kesan tembakan.

Susulan dari kejadian tersebut, seorang wanita dan enam orang lelaki warganegara Malaysia untuk membantu siasatan.

Polis turut menjumpai senjata api serta kelonsong peluru yang dipercayai digunakan dalam insiden itu.
Next Post Previous Post