Kes bunuh Bill Kayong: Rayuan terakhir Fitri ditolak, kekal ke tali gantung


KUCHING: Rayuan terakhir Mohamad Fitri Pauzi, 35, yang didapati bersalah membunuh aktivis sosial Bill Kayong untuk mengenepikan hukuman gantung sampai mati ditolak oleh Mahkamah Persekutuan di sini semalam.

Memetik laporan Utusan Borneo Online panel tiga hakim diketuai Datuk Nallini Pathmanathan sebulat suara mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas Fitri dan menolak rayuan terakhirnya selepas menimbangkan bukti secara keseluruhan dan yakin tiada kesilapan dalam keputusan mahkamah terdahulu.

"Sehubungan itu, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan rayuan perayu ditolak," kata Hakim Nallini.

Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Ranbir Singh dan Orlando Chua yang mewakili Fitri.

Sebelum ini, Fitri disabitkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Miri Hakim Ravintharan N. Paramaguru pada 2018 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Kayong.

Pada 18 Februari 2020, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini yang dipengerusikan Hakim Dato Mary Lim Thiam Suan sebulat suara menolak rayuan Fitri untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pasar Raya Emart Tudan.

Bill Kayong ditembak mati di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Fitri gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan kes ketika dipanggil membela diri.

Malah, topeng muka dan sarung senapang yang dikemukakan sebagai barang kes turut mempunyai kesan DNA Fitri.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Abdul Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Masud.

Gambar menunjukkan Fitri diiring keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding kes di Mahkamah Kuching, semalam.
Next Post Previous Post