Kes baharu COVID-19 meningkat
Gambar hiasan kredit unsplash |
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 21,483 kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam, 1,339 kes melibatkan kemasukan ke hospital dengan 553 kes atau 41.3 peratus adalah dalam kategori 3, 4, dan 5 manakala 786 kes atau 58.7 peratus adalah kategori 1 dan 2.
Beliau berkata 32,561 kes sembuh dilaporkan semalam, menjadikan kumulatif kes sembuh 3,745,229 kes, dan tiga negeri menunjukkan peratusan pengisian katil COVID-19 bagi kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (70 peratus), Johor (62 peratus), dan Selangor (60 peratus).
Dr Noor Hisham dalam kenyataan di sini hari ini berkata pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 209 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 24 peratus.
Mengenai nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara, beliau berkata ia menurun kepada 0.91 dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.01 diikuti Perak dengan 1.00.
-- BERNAMA