Kerajaan tidak iktiraf tuntutan, prosiding timbang tara waris Sultan Sulu
Gambar kredit FB Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar |
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) berkata ia memandangkan lantikan penimbang tara yang dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.
“Pada 29 Jun 2021, atas permohonan kerajaan, Mahkamah Madrid telah membatalkan pelantikan Dr Stampa sebagai penimbang tara dan kesemua tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Dr Stampa adalah terbatal.
“Mahkamah Madrid pada 13 Okt 2021 memutuskan bahawa Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr Stampa bertarikh 25 Mei 2021 adalah terbatal (null and void),” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang meminta penjelasan kerajaan mengenai arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis.
Wan Junaidi berkata kerajaan tidak berdiam diri walaupun tidak mengiktiraf tuntutan itu dan mengambil tindakan perundangan sewajarnya, dengan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Sabah yang mana penuntut tidak hadir ke prosiding itu.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.
“Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu telah dibawa ke Mahkamah Madrid, Sepanyol untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol.
“Susulan itu, ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang dikeluarkan oleh Penimbang Tara pada 25 Mei 2020 telah diketepikan,” katanya.
Bagaimanapun katanya penuntut telah membawa ‘Partial Award on Jurisdiction’ itu ke Perancis sebelum 13 Oktober 2021, bagi memintas keputusan Mahkamah Madrid tersebut.
Katanya, tanpa mengetahui keputusan Mahkamah Madrid yang telah membatalkan pelantikan dan keputusan Dr Stampa, Mahkamah Perancis telah mengeluarkan ‘Exequatur Order’ yang mengiktiraf ‘Partial Award on Jurisdiction’ bertarikh 25 Mei 2020 itu.
Berdasarkan ‘Exequatur Order’ itu, Dr Stampa telah memindahkan tempat (seat) timbang tara dari Madrid ke Paris bagi meneruskan prosiding timbang tara itu.
“Sebagai bantahan kepada tindakan Penimbang Tara terhadap ketidakpatuhan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid, ketidakaturan proses, ketidakadilan serta penghinaan kepada kedaulatan undang-undang, kerajaan Malaysia memfailkan aduan jenayah terhadap Dr Stampa kepada Peguam Negara Sepanyol pada 14 Disember 2021,” katanya serta memaklumkan Malaysia juga telah memfailkan rayuan membatalkan ‘Exequatur Order’ itu dan permohonan menggantung pelaksanaannya.
Pada 16 Disember 2021, Mahkamah Rayuan Perancis membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia bagi penggantungan ‘Exequatur Order’ yang dikeluarkan pada 29 September 2021. Rayuan yang difailkan Kerajaan Malaysia masih belum diputuskan.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata kerajaan sentiasa peka dan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan sekiranya dilaksanakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana jua bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara.
Wan Junaidi juga menjelaskan rentetan peristiwa yang membawa kepada tindakan tuntutan pampasan itu, iaitu Perjanjian dimeterai antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck & Alfred Dent pada 22 Januari 1878, bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Sabah.
Bagaimanapun katanya selepas pencerobohan tentera kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 12 Februari 2013 kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan kepada waris Kesultanan Sulu.
“Lanjutan daripada tindakan itu, Firma Guaman yang mewakili warga Filipina yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu (Penuntut) memohon rundingan semula bayaran wang ihsan di bawah Perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan ‘Superior Court of Justice’ di Madrid, Sepanyol (Mahkamah Madrid) untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018.
“Mahkamah Madrid, Sepanyol kemudiannya memutuskan untuk melantik penimbang tara dan Dr Gonzalo Stampa dilantik pada 22 Mei 2019.
“Pada 30 Julai 2019 satu Notis Timbang Tara diserah kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion,” katanya. — BERNAMA