Kebakaran awal pagi, enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang di Lambir


MIRI—Enam sekeluarga termasuk seorang wanita kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang setelah dua buah rumah yang didiami musnah dijilat api dalam kebakaran di Jalan Meranti 1, Kampung Tuanku Abdul Rahman Lambir, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zone Miri Penguasa Kanan Bomba I Supt Law Poh Kiong berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian memandangkan kesemua mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri.

Bomba menerima panggilan kecemasa sekitar jam 1.38 pagi tadi (21 Mac).

Sepasukan anggota Bomba dari Balai Lopeng dan Miri Sentral dengan kekuatan 15 orang bersama dua jentera digerakan ke lokasi kebakaran.

Setibanya di lokasi, didapati tiga buah rumah jenis papan , termasuk sebuah rumah kosong tiada berpenghuni , musnah dijilat api.


Menurut Secolin Kibung , 50, pemilik salah sebuah rumah tersebut, isterinya ketika itu sedang berjalan ke tandas, sebelum terdengar bunyi yang agak kuat dari luar.

"Isteri saya sempat menjenguk ke luar, iaitu ke arah rumah kosong sebelah untuk melihat sumber bunyi tersebut dan terlihat api sedang menyala dari rumah tersebut," ujar Secolin.

Isteri Secolin segera mengejutkan ahli keluarganya, termasuk adik iparnya seorang OKU berusia 46 tahun yang tinggal bersebelahan untuk segera keluar menyelamatkan diri.

Punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.


Sementara itu, pagi tadi, wakil Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dari pusat khidmatnya di Taman Tunku telah tampil menghulurkan bantuan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian.

Sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan harian dan wang tunai telah dihulurkan bagi meringankan beban mangsa.

Lukanisman yang dihubungi kemudian memberi jaminan bahawa mangsa kebakaran tersebut akan terus dibantu.

"Kita telah memaklumkan kepada pejabat daerah dan memohon agar disenaraikan untuk bantuan ehsan kebakaran bagi pembelian bahan binaan, manakala di peringkat pusat khidmat kita akan memberi sedikit sumbangan ehsan berbentuk tunai dan bakul makanan," jelasnya.
Next Post Previous Post