Jimat RM31 juta, Jalan Tanjong Karang-Sabak Bernam siap lebih awal, Fadillah

Sekitar majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Naik Taraf Jalan Persekutuan 5 (FR05) dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar di sini hari ini. Gambar kredit FB Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kerja Raya

SABAK BERNAM—Projek jalan sepanjang 45 kilometer (km) yang merupakan sebahagian daripada jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam, berjaya disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan, dengan penjimatan kos sebanyak RM31 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek yang menelan belanja RM749 juta itu, telah bermula pada 21 Mac 2016 dan siap sepenuhnya pada 22 Feb lepas, lebih awal dari tarikh yang sepatutnya, iaitu pada Mac ini.


“Projek ini juga memenuhi keperluan aspek keselamatan seperti pengunaan penghadang konkrit ‘New Jersey Barrier (NJB)’,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Naik Taraf Jalan Persekutuan 5 (FR05) dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar di sini hari ini.

Katanya projek jalan merangkumi empat lorong dua hala itu turut mempunyai 10 jejantas pejalan kaki berserta laluan motorsikal, jejantas pejalan kaki (satu), persimpangan bertingkat (empat) dan pusingan U (15).


Fadillah berkata dianggarkan sebanyak 19,411 kenderaan sehari atau bersamaan 7,085,015 setahun, akan menggunakan laluan tersebut yang lebih selesa, selamat dan dapat menampung aliran trafik sepanjang jajaran itu, secara langsung mampu menggalakkan aktiviti ekonomi di koridor Persisiran Pantai Barat.

“Dalam kita merancang dan melaksanakan projek ini banyak sesi perjumpaan dan dialog diadakan, untuk mendengar segala maklum balas, rintihan dan aduan daripada penduduk setempat, akhirnya dapat disiapkan.


“Sasarannya sudah pasti, untuk meningkatkan kesalinghubungan di antara negeri dan daerah, khususnya di Selangor yang berhubung dengan Perak,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post