Jabatan Audit kenal pasti RM16.35 bilion pertambahan cukai, penalti

Gambar kredit LHDN

KUALA LUMPUR—Hasil pengauditan syarikat yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara menunjukkan terdapat pertambahan cukai dan penalti berjumlah RM16.35 bilion yang boleh dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Jabatan Audit juga berkata objektif audit cukai syarikat  telah tercapai kerana kes tiada penemuan audit menunjukkan peningkatan tahap pematuhan oleh pembayar cukai.

“Namun demikian, terdapat kelemahan terhadap penyelesaian kes audit cukai syarikat di mana kes diselesaikan melebihi tempoh yang ditetapkan serta kes tertunggak di antara enam bulan hingga enam tahun.

“Perkara ini boleh berlaku kelewatan mengeluarkan notis taksiran tambahan dan akan mengakibatkan cukai tertangguh kepada kerajaan,” kata jabatan itu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Selain daripada itu, terdapat ketidakpatuhan dalam menetapkan kata laluan seperti yang ditetapkan dalam Dasar Keselamatan ICT (DKICT) yang terkini serta penilaian tahap keselamatan rangkaian dan sistem tidak dijalankan bagi tiga sistem iaitu sistem taksir sendiri syarikat, sistem penilaian risiko dan sistem pengurusan kes.

Secara keseluruhannya, laporan tersebut merumuskan bahawa pengurusan aktiviti audit cukai syarikat telah di laksanakan dengan cekap dan berkesan  kerana petunjuk prestasi utama (KPI) korporat dan KPI cawangan telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan serta mempunyai tunggakan kes jurang dari 10 peratus.

Laporan tersebut juga mengesyorkan agar LHDNM mengambil tindakan segera menyelesaikan kes tertunggak yang terdapat di cawangan serta sentiasa memantau kes yang disalurkan ke cawangan supaya tidak berlaku tunggakan kes yang berpanjangan.

Ia juga perlu mengkaji prosedur kerja/standard kualiti audit serta mewujudkan satu mekanisme untuk mengatasi kes tertunggak supaya setiap kes dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah.

“Kementerian Kewangan perlu mengkaji dasar dan peruntukan  undang-undang berkaitan perkongsian maklumat pembayar cukai antara LHDNM dengan pihak ketiga bagi membantu mempercepatkan penyelesaian kes audit cukai syarikat.

“Ia juga perlu memastikan aspek kawalan dalaman terhadap pengurusan kata laluan dan kawalan pengurusan rangkaian dilaksanakan kepada semua aplikasi dalam inisiatif transformasi hasil di bawah projek hasil sistem cukai integrasi yang ditetapkan dalam DKICT,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post