Indeks jenayah di Sarawak turun 19 peratus

Datuk Mancha Ata memeriksa kawalan kehormat ketika menghadiri Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-215 di Perkarangan Padang Kawad IPK Sarawak, Jalan Badaruddin, Kuching. Gambar kredit Polis Sarawak

KUCHING—Kadar indeks jenayah di Sarawak mencatatkan penurunan sebanyak 19 peratus untuk tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata dari 1 Jan hingga 19 Mac tahun ini sebanyak 799 kes jenayah indeks dilaporkan berbanding 987 kes bagi tempoh sama pada 2021.

“Walaupun tempoh tiga bulan pada awal tahun ini menunjukkan penurunan, kita akan terus cuba mengurangkan indeks kes tersebut dengan pelbagai pelan dan operasi,” katanya berucap pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mancha berkata jenayah komersial di negeri itu pula menunjukkan trend peningkatan sebanyak 27.45 peratus iaitu 585 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 20 Mac tahun ini berbanding 459 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Kerugian jenayah komersial bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM16.5 juta bagi tahun ini manakala bagi tempoh sama tahun lepas ialah RM12.8 juta.

“Usaha membendung jenayah komersial di Sarawak dari tempoh Januari hingga 20 Mac tahun ini juga telah menghasilkan sebanyak 215 tangkapan individu,” katanya.

Bagi jenayah narkotik, Mancha berkata tangkapan bagi kategori pengedar dadah untuk tempoh 1 Jan hingga Februari tahun ini meningkat 15.83 peratus dengan 161 tangkapan berbanding 139 pada tempoh sama tahun lepas.

“Bagi tangkapan kategori memiliki dadah pula, 428 tangkapan telah dilakukan pada 1 Jan hingga Februari tahun ini berbanding 334 tangkapan pada tempoh sama tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post