Hasil cukai dijangka melebihi RM139 bilion bagi 2022
Beliau berkata bagi menyokong hasrat ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui pengurusannya perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.
“Ini termasuklah mengenal pasti sektor ekonomi baharu dan melaksanakan undang-undang percukaian dengan telus, berkesan dan cekap.
"Secara tidak langsung, usaha ini akan meningkatkan kepercayaan Keluarga Malaysia dan memastikan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil ke-26 di Menara Hasil Cyberjaya, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Bagi tahun 2021, beliau menjelaskan hasil cukai meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2020, kepada lebih RM140 bilion, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan melaksanakan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) dan Sijil Pematuhan Cukai (TCC) untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengumpulan hasil negara.
Sehubungan itu, mulai 2023 semua peniaga yang ingin mendapatkan projek dengan kerajaan perlu mempunyai TCC sebagai salah satu syarat utama, kata Perdana Menteri.
Bagi menambah baik pasaran buruh negara dan memperkasa sektor perniagaan pula, katanya Kementerian Kewangan (MoF) akan melaksanakan reformasi fiskal, yang melibatkan usaha ke arah sistem percukaian yang lebih cekap dan telus melalui pelbagai sesi libat urus.
“Ke arah ini, kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan pengurusan fiskal negara," katanya.
Ini termasuk merencana Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang menekankan sasaran pendapatan yang jelas, sejajar dengan amalan global terbaik, serta sistem cukai yang lebih telus, adil dan saksama berlandaskan penggunaan data raya,” jelas Perdana Menteri.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan keyakinan mengenai unjuran KDNK bagi tahun 2022 dengan ekonomi negara dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus, selari dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu 5.7 peratus dan Bank Dunia (5.8 peratus).
“Ini akan didorong oleh Bajet 2022 yang mengembang, pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi, serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan,” katanya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 10 entiti perniagaan turut dianugerahkan Anugerah Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2021, antaranya Perodua Sales Sdn Bhd, Hong Leong Bank Bhd, YTY Industry Sdn Bhd dan Nestle Products Sdn Bhd.
— BERNAMA