Harga minyak sawit mentah melonjak RM9,300 satu tan

Gambar hiasan kredit : Unsplash

KUALA NERANG— Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka meneruskan kenaikan sekurang-kurangnya sehingga suku ketiga tahun ini dan diunjur mencapai sehingga paras RM9,300 satu tan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata angka itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia.

“Kalau ikut Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah, memang akan cecah sampai RM9,300 satu tan. Sekarang sampai Jun kita rasa trend peningkatan harga sawit ini akan berterusan sehingga ke suku ketiga tahun ini.

“Paling cepat kenaikan itu mencapai paras RM9,300 pada suku ketiga, kalau tidak mungkin boleh berlanjutan sampai hujung tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip dan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas trend kenaikan MSM yang sebelum ini dilaporkan melonjak melebihi RM8,000 pada awal bulan lalu dan kini berada pada paras RM7,546 satu tan setakat Khamis lalu.

Zuraida berkata kenaikan harga itu sememangnya memberikan keuntungan kepada peladang dan kerajaan, namun mungkin memberi kesan kepada peningkatan harga produk berkaitan minyak sawit yang digunakan pengguna.

“Tapi bagaimana pun kita tetap beri subsidi iaitu sebanyak 20 peratus daripada minyak sawit mentah kita, jadi tidak menjadi isu (walaupun harga minyak sawit mentah melonjak),” katanya.

Mengulas mengenai kemasukan pekerja asing seramai 32,000 orang seperti yang diumumkan sebelum ini bagi memenuhi keperluan di sektor perladangan, Zuraida berkata kumpulan pertama dijangka tiba di negara ini seawal hujung April depan.

“Sekarang kita sedang dalam proses untuk bawa mereka masuk, Insya Allah, awal Mei atau hujung April kumpulan pertama akan masuk ke negara ini,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post