Harga minyak sawit dijangka kekal di atas paras RM5,000 setan


KUALA LUMPUR—Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus diniagakan di atas paras RM5,000 setan metrik bagi tempoh separuh pertama 2022 di tengah-tengah kekurangan bekalan minyak makan - minyak bunga matahari - ekoran perang Rusia-Ukraine, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata memandangkan tiada ramalan jelas selama mana konflik itu akan berlarutan, minyak sawit terus mendapat permintaan meskipun harganya yang tinggi ketika ini.  

Perang Rusia-Ukraine merupakan faktor utama yang melonjakkan harga MSM kepada RM8,000 setan metrik pada minggu lepas.

“Apa yang lebih penting bagi kita adalah memastikan kita ada bekalan mencukupi dan ia tidak terhad kepada MSM sahaja tetapi juga RBD (minyak sawit ditapis, diluntur dan dinyah bau),” katanya kepada pemberita pada persidangan dan pameran prospek harga Minyak Sawit dan Laurik yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia hari ini.

Ukraine dan Rusia merupakan pengeluar utama minyak bunga matahari dunia, masing-masing menyumbang 7.3 juta tan metrik dan 5.8 juta tan metrik pada 2020.

Kedua-dua negara ini menyumbang hampir 73 peratus daripada perdagangan eksport minyak bunga matahari.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post