Hampir 20 tahun penyelidikan, buku Daftar Kata Bahasa Bakong-Bahasa Melayu dilancarkan
Pelancaran buku Daftar Kata Bahasa Bakong - Bahasa Melayu di Dewan Masyarakat Beluru |
Pelancaran yang diadakan di Dewan Masyarakat Beluru disempurnakan pegawai tadbir Pejabat Daerah Beluru ,Marliney Igil yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Dr Penguang Manggil merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi.
Turut hadir Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai dan Ketua Kaum masyarakat Bakong Penghulu Abdullah Samat.
Berjudul 'Daftar Kata Bahasa Bakong-Bahasa Melayu, ia adalah daftar kata suku Bakong yang dibukukan dalam satu buku setebal 253 muka surat, merupakan hasil penyelidikan hampir 20 tahun.
Penerbitan buku daftar kata ini merupakan usaha sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak bersama Persatuan Masyarakat Ideah Bakong Miri (PIBA) sejak awal tahun 2000.
Penguang dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Marliney berkata, usaha membukukan daftar kata suku Bakong ini adalah selari dengan usaha kerajaan Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan keunikan dalam pelbagai bidang yang sering mendapat pengiktirafan sama ada di peringkat dalam dan luar negara.
"Kaum Bakong adalah salah satu kaum etnik di Sarawak dan Bahasa Bakong (Itaok Bakong) membuktikan wujudnya kaum minoriti ini di Sarawak," jelasnya.
Masyarakat Bakong telah menetap di daerah Beluru lebih kurang 100 tahun dahulu.
Pada masa kini, Kampung Melayu Beluru, Bakong, mempunyai lebih kurang 800 orang penduduk yang masih tinggal di kampung tersebut, manakala lebih dari 100 buah keluarga telah berpindah ke Kuala Baram disebabkan terdapat ramai anak kampung telah berhijrah ke tempat lain atas faktor mencari pekerjaan.
Kaum ini turut mendiami kawasan Bekenu dan Niah.
Menurut cerita lisan, orang Bakong mula berpecah dan berpindah ke kawasan Bekenu dan Niah pada era peperangan dunia kedua.
Di Bekenu, orang Bakong tebih dikenali dengan nama Bahaong.