Ganja bernilai RM2.2 juta terapung di laut

Gambar arkib APMM Zon Perlis. Kredit BERNAMA

KUALA PERLIS—Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 446 ketulan dadah jenis ganja mampat seberat 446 kilogram dianggarkan bernilai RM2.2 juta di dua lokasi berasingan menerusi rondaan Op Aman di perairan negeri ini semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata kesemua dadah itu dirampas di kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis pada 10.33 pagi dan 2.2 batu nautika barat Kuala Perlis pada 11.15 pagi.

"Rampasan dibuat selepas anggota APMM yang melakukan rondaan menjumpai beberapa bungkusan plastik hitam terapung yang mencurigakan di perairan tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini.

Saliza berkata hasil pemeriksaan terhadap plastik hitam berkenaan menemukan 18 bungkusan guni plastik berwarna putih mengandungi ketulan ganja mampat berkenaan yang dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand.

Beliau berkata dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran negeri ini, Kedah dan Pulau Pinang.

"Ini merupakan rampasan terbesar Zon Maritim Kuala Perlis setakat ini bagi tahun ini dan lokasi penemuan juga tidak jauh dari sempadan perairan Thailand,” katanya dan menambah dadah dirampas dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Saliza berkata modus operandi sindiket pengedaran dadah dari negara jiran itu adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut berkuasa tinggi dan sindiket itu juga dipercayai didalangi nelayan negara jiran serta tempatan yang membuat pertukaran ganja dengan daun ketum.

"Mereka (nelayan Thailand) dipercayai membawa masuk dadah dari sana ke perairan negara dan akan membawa pulang daun ketum ke negara mereka.

"Sindiket ini akan membuang ganja ke laut sekiranya menyedari kehadiran pihak berkuasa dan meloloskan diri ke Thailand," katanya.

Beliau berkata APMM akan memperhebat pemantauan di sempadan perairan negara dan orang ramai diminta memberi kerjasama melaporkan sebarang kes penyeludupan bagi membolehkan tindakan diambil segera.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post