Gagal pamer kupon parkir 20 sen, lelaki berang dikompaun tinggalkan nota tidak senonoh


KUCHING—Akibat berang dikenakan kompaun oleh petugas parkir pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, seorang lelaki bertindak meninggalkan nota dengan perkataan jelik ke atas petugas berkenaan.

Difahamkan pemilik kereta tersebut mengulangi perbuatan tersebut pada hari ini.

Perbuatan pemilik kereta berkenaan membawa padah apabila petugas parkir terbabit tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.


Petugas berkenaan membuat laporan di Balai Polis Sentral Kuching sekitar jam 10.31 pagi hari ini selepas menerima nota yang tertulis dengan perkataan tidak senonoh oleh pemilik kereta.

"Hari ini menerima surat cinta dari pemilik kereta tetapi kali ini saya tidak berdiam diri lagi, kepada pemilik kereta kalau rasa betul sila tampil berjumpa dengan saya di pondok berdekatan. Jangan berani dibelakang saja. 

Berani kerana benar. Saya tak ajak kamu bertengkar atau gaduh. Saya hanya mahu tahu apa yang menyebabkan kamu tidak berpuas hati. Sila tampil kalau anda di pihak yang benar," kata petugas tersebut menerusi akaun Facebooknya hari ini.

 
Kisah yang dikongsi petugas parkir itu mendapat perhatian seorang pengguna media sosial Facebook yang menyokong tindakan petugas berkenaan dengan tampil membuat laporan polis.

Katanya, pemilik kereta itu tidak sepatutnya melakukan perbuatan tersebut.

Tambahnya, hanya disebabkan kupon 20 sen pemilik kereta hilang pertimbangan sehingga menulis nota dengan kata-kata tidak senonoh kepada petugas pakir.

"Kupon itu hanya 20 sen satu keping. Kita (pemilik kereta terbabit) menyumpah petugas bagai hilang kereta," tegasnya.
Next Post Previous Post