Fasa peralihan ke endemik: Mansuhkan SOP "Check-in" MySejahtera - Kelvin Yii


KUCHING-- Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen menggesa Kerajaan pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti semula syarat daftar masuk' atau 'Check-in' menggunakan MySejahtera ketika masuki sesebuah premis supaya ia dimansuhkan.

Jelasnya, ini berikutan fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini yang mana syarat tersebut dilihat bukan lagi satu keperluan utama.

Tegasnya negara akan mengalami fasa peralihan ke endemik dan masyarakat harus belajar untuk hidup dengan COVID-19, selain rancangan kerajaan untuk membuka sempadan dan mengurangkan sekatan yang dikenakan semasa COVID-19 sebelum ini.

"Tujuan utama untuk ciri 'daftar masuk' adalah untuk pengesanan kontak dan ia adalah penting apabila strategi kita adalah pembendungan dan juga mitigasi."

“Namun, kini dengan prosedur operasi standard (SOP) telah diubah oleh KKM di mana kuarantin tidak lagi diperlukan untuk kontak rapat dan ujian calitan hanya untuk kes bergejala, jadi fungsi 'daftar masuk' kurang nilai epidemiologi," katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post hari ini.

Kelvin Yii berkata berjuta-juta rakyat Malaysia telah mematuhi arahan kerajaan untuk ‘daftar masuk’ melalui aplikasi MySejahtera mereka malah ramai yang didenda ribuan ringgit kerana tidak berbuat demikian.

“Tetapi berapa kes yang sebenarnya dikesan dan orang ramai dimaklumkan melalui ciri pengesanan kontak ‘daftar masuk’ di bawah MySejahtera ini?” soalnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan menjelaskan statistik dan peratusan kes yang dikesan melalui mekanisme pengesanan kontak MySejahtera.

"Dengan ini juga, ia membantu menangani beberapa kebimbangan orang ramai yang mungkin ada apabila ia berkaitan dengan privasi data dan pemilikan data, kerana data 'daftar masuk' atau 'pengawasan' tersebut tidak lagi dimasukkan ke dalam aplikasi," tambahnya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu menjelaskan semua kebimbangan orang ramai yang dibangkitkan dan membenarkan perkara berkaitan aplikasi MySejahtera disiasat melalui suruhanjaya bebas bagi memastikan tadbir urus yang telus dan selamat.

Bagaimanapun, Kelvin Yii berkata MySejahtera masih boleh memainkan peranan pada masa hadapan, terutamanya dalam pengurusan wabak.

“Ciri pengesanan kontak sedemikian boleh dinaik taraf sebagai persediaan menghadapi pandemik masa depan dan hanya diaktifkan semula apabila tiba masanya untuk memastikan kita tidak ketinggalan lagi dalam mengawal penularan sebarang penyakit berjangkit," jelasnya.

Beliau berkata aplikasi MySejahtera boleh ditukar kepada ‘sistem pas hijau’, di mana hanya individu berstatus hijau yang tertera dalam aplikasi tersebut dibenarkan menjalankan aktiviti yang dibenarkan dan ditetapkan kerajaan.

"Jadi, apa yang perlu kita lakukan ialah menyebarkannya kepada pihak berkuasa di mana-mana pintu masuk untuk pengguna masuk ke premis daripada mengimbas kod QR."

"Jika perlu, pihak berkuasa boleh mengimbas kod QR secara rawak untuk mengesahkan kesahihan sijil vaksin kami atau keputusan ujian dari semasa ke semasa untuk aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Tambahnya, ketulenan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera boleh dilindungi dengan lebih baik dengan menggunakan teknologi blockchain.

"Jadi, apabila kita beralih ke endemik, strategi kita mesti berubah dan keperluan yang berbeza oleh kerajaan mesti disokong oleh data dan sains serta nilai epidemiologi tambahan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau amat percaya kerajaan mesti menghapuskan fungsi 'daftar masuk' MySejahtera dan memperuntukkan semula pelaburan tambahan yang diperlukan untuk menaik taraf aplikasi itu bagi meningkatkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan negara.
Next Post Previous Post