Empat kematian akibat COVID-19 libatkan warga emas di Sarawak, 852 kes baharu

Gambar hiasan

KUCHING-- Sarawak hari ini merekodkan empat kematian kesemua melibatkan golongan warga emas dan 852 kes positif baharu COVID-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kematian pertama direkodkan pada 16 Mac melibatkan seorang lelaki berusia 76 tahun yang meninggal dunia di Hospital Bintulu dan mempunyai komorbid iaitu darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

Kematian kedua dan ketiga direkodkan pada 17 Mac 2022 melibatkan seorang lelaki berusia 82 tahun di Hospital Sibu dan seorang lelaki berusia 74 tahun yang jenazahnya dibawa ke Hospital Mukah yang mana kedua-dua pesakit juga mempunyai komorbid.

"Kematian keempat pula pada 18 Mac 2022 meliatkan seorang wanita berusia 60 tahun yang meninggal dunia di Hospital Serian, juga mempunyai komorbid," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah kes, JPBNS memaklumkan dengan penambahan 852 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Sarawak adalah 287,847 kes.

Tambahnya, kategori satu (Tiada Gejala) 312 kes, kategri dua (Gejala Ringan) 532 kes, kategori tiga (Jangkitan Paru-paru) 2 kes, kategori empat (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Oksigen) 3 kes dan kategori lima (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan
Ventilator) 3 kes.

Jelas jawatankuasa itu, Kuching kekal merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu Kuching 305 diikuti Miri 147, Sibu 86, Bintulu 82, Serian 43, Samarahan 42, Sarikei 20, Sri Aman 19, dan Bau 10 kes.

Manakala daerah lain merekodkan jumlah kes di bawah angka 10 kecuali Kabong, Tatau, Selangau, Tanjung Manis, Belaga, Bukit Mabong dan Song yang menunjukkan tiada kes baharu dikesan.

Selain itu, JPBNS memberitahu tiada kluster baharu dikesan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak kekal enam yang mana Kluster DTI Semuja 3, Serian merekodkan dua penambahan kes positif baharu.
Next Post Previous Post