Ekport Malaysia dijangka terus melonjak

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka melonjak bulan ini di tengah-tengah kenaikan harga komoditi yang mendadak, demikian menurut CGS-CIMB. 

Syarikat penyelidikan itu berkata harga komoditi termasuk minyak sawit, gas asli cecair, petroleum mentah dan produk petroleum ditapis meningkat dengan ketara berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bulan lepas. 

“Prestasi komoditi paling menonjol pada Februari. Produk-produknya menyumbang 17 peratus daripada nilai eksport bulan Februari Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Namun begitu, CGS-CIMB berkata pertumbuhan eksport semasa yang kukuh berkemungkinan tidak menentu, bergantung kepada pergerakan harga komoditi global berikutan permintaan asas yang masih samar.

Mengenai lebihan dagangan Malaysia, CGS-CIMB berkata ia telah meningkat sedikit kepada RM19.8 bilion pada Februari, sejajar dengan jangkaan pasaran tetapi kurang daripada unjurannya sebanyak RM21.6 bilion.

Ia menambah disebabkan oleh bulan yang lebih singkat berikutan cuti musim perayaan, nilai eksport pada Februari merosot 7.9 peratus bulan ke bulan, manakala import turun 10.8 peratus bulan ke bulan.

Pada asas tahun ke tahun, kedua-dua eksport dan import berkembang pada kadar yang lebih perlahan daripada jangkaan, masing-masing sebanyak 16.8 peratus dan 18.4 peratus. 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dapat meningkatkan import barangan penggunaan.

“Kami mengunjurkan  (pengeluaran KWSP) itu boleh memberi sokongan kepada import barangan penggunaan.

“Import makanan dan minuman utama menguncup pada Februari (-13.8 peratus tahun ke tahun dan -40.0 peratus bulan ke bulan), yang menyebabkan kelembapan dalam keseluruhan import barangan penggunaan,” katanya.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post