Dua motosikal bertembung, seorang maut, seorang lagi cedera



SIBU: Tunggang motosikal tanpa helmet, seorang lelaki maut manakala sorang lagi cedera apabila motosikal ditunggang mereka bertembung antara satu sama lain yang berlaku di Jalan Chew Kung di sini, tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Johny Sia Mee Hu, 46, beralamat dari Sungai Dassan, Sibu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

"Manakala seorang lagi penunggang, lelaki berusia 50 tahun cedera di dagu dan lutut," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelas Alexson, polis menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 12.55 tengah hari yang melibatkan dua penunggang motosikal, kedua-dua tidak menggunakan topi keledar.

"Kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal jenis Modenas VE 1 yang bergerak dari arah Sungai Empawah ke menuju ke arah Sungai Bidut.

"Semasa tiba satu jalan lurus di Jalan Chew Kung, dipercayai telah bertembung dengan motosikal jenis SYM E Bonus yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Tambahnya, akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal Modenas VE 1 cedera di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak paramedik dari Hospital Sibu.

"Manakala penunggang motosikal SYM E Bonus hanya mengalami kecederaan ringan," katanya sambil menambah kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes kemalangan berasingan, Alexson memberitahu, seorang penunggang motosikal dikenali sebagai Chow Wei Yee, 40, beralamat di Lorong Ulu Sungai Merah 50A, Sibu disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu selepas terlibat kemalangan. 


Jelasnya, kemalangan itu berlaku sekitar jam 4.26 pagi tadi di Jalan Deshon, Sibu melibatkan motosikal dan sebuah kereta.

"Kemalangan berlaku ketika motosikal mangsa yang bergerak dari arah Ulu Sungai Merah menuju ke arah Jalan Tunku Abdul Rahman, ketika tiba di suatu jalan di Jalan Deshon, Sibu, motosikal tersebut bertembung dengan kereta yang berhenti di atas jalan disebabkan mengalami masalah kehabisan minyak dan tidak dapat bergerak.

"Akibat kemalangan penunggang motosikal cedera dan telah dihantar ke Hospital Sibu oleh orang awam untuk rawatan lanjut," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya pada jam 6.07 pagi hari sama, penunggang terbabit telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan.
Next Post Previous Post