Dr Sim marah kelewatan projek penghadang konkrit
Gambar kredit FB Dr Sim |
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Sim Kui Hian berkata, sikap negatif kontraktor tersebut membuatkan beliau mempersoalkan sama ada mereka ini wajar diberi peluang untuk melaksanakan projek pada masa dapan.
“Saya pun tertanya, adakah adil untuk kita memberikan peluang kepada kontraktor tempatan yang berprestasi rendah?
“Atau patutkah kita membuka tender kepada kontraktor dari luar?, soalnya dalam hantaran di Facebooknya semalam.
Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa berkata demikian sebagai melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap perlaksanaan penghadang konkrit di Jalan Batu Kawa yang lembab.
Beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bahawa kontrak telah dianugerahkan kepada kontraktor menerusi tender terbuka pada Ogos 2021.
Katanya, projek di bawah empat pakej bernilai RM2 juta itu dijadualkan siap pada November 2021, namun setakat ini projek itu mencapai 10 hingga 25 peratus siap dengan tarikh baharu 21 Mei 2022.
“Sangat menyedihkan di Sarawak. Kita pula yang seakan-akan merayu kontraktor untuk menyiapkan projek sedangkan mereka sudah dibayar. Tindakan tegas sudah diambil termasuk memberikan surat amaran sebanyak kali untuk mereka bertindak.
“Siapa yang akan bertanggungjawab untuk keselamatan pengguna jalan raya di Batu Kawa ini?” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap sistem tender terbuka di Sarawak diperhalusi semula untuk mengelakkan masalah ini berulang.
"Kita mahu kontraktor yang cekap dan berdaya saing. Tiada alasan untuk membuat kerja sambil lewa.” tegasnya.
Sementara itu Dr Sim meminta JKR Sarawak terus memantau dan menguruskan lalu lintas bagi mengurangkan kesulitan kepada pengguna jalan raya di kawasan tersebut terutamanya ketika waktu puncak.