Dr Boo gesa Guan Eng undur diri sebagai Pengerusi DAP

Dr Boo gesa Guan Eng undur diri sebagai Pengerusi DAP dan percaya boleh memegang jawatan itu semula pada bila-bila masa jika terbukti tidak bersalah di mahkamah.

PETALING JAYA—Bekas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor Dr Boo Cheng Hau menggesa Lim Guan Eng berundur sebagai pengerusi kebangsaan parti itu.

Dr Boo yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai dan kini Ahli Jawatankuasa (AJK) Biasa DAP Johor berkata, ini berikutan Guan Eng masih dibebani dengan kes perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut yang sedang berjalan membabitkan Ahli Parlimen Bagan itu.

 
Katanya, ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) baharu DAP sepatutnya bebas daripada sebarang beban untuk memacu parti itu ke hadapan dalam meraih semula keyakinan rakyat dan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang semakin hampir.

“Mana-mana pemimpin yang dibebani tuduhan rasuah atau sebarang skandal patut mengambil inisiatif meletak jawatan bagi mengelak daripada menghantar isyarat salah mengenai nilai-nilai parti kepada masyarakat umum dan menjejaskan kedudukan parti pada PRU15.

“Saya percaya pengerusi kebangsaan (Guan Eng) adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dan boleh membuat kemunculan semula pada bila-bila masa jika terbukti tidak bersalah di mahkamah.

“Saya berpendapat pengerusi kebangsaan patut mengundurkan diri,” katanya dipetik menerusi laporan FreeMalaysiaToday (FMT).

Dr Boo memberitahu, Guan Eng harus berundur atas dasar “cintanya kepada parti”.

Pada masa yang sama beliau menggesa Mentor Parti, Lim Kit Siang agar turut menasihati anaknya supaya melepaskan jawatan.

Selain itu, beliau turut meminta Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menarik diri daripada menjadi peguam bela Guan Eng di mahkamah bagi mengelak sebarang konflik kepentingan, termasuk kemungkinan menggantikannya sebagai pengerusi.

Tegasnya, sukar bagi DAP untuk mengekalkan prinsip dan nilai terasnya jika ia dipimpin oleh individu yang berdepan tuduhan di mahkamah.

Katanya lagi, menggunakan “penganiayaan politik” sebagai pembelaan secara tidak langsung memberi “tekanan tidak wajar” ke atas badan kehakiman.

Justeru, tambahnya, ia bertentangan dengan pendirian jangka panjang parti dalam menegakkan kebebasan kehakiman.

“Oleh itu, saya percaya peletakan jawatan secara tegas adalah (langkah) baik untuk pengerusi kebangsaan dan imej parti. DAP tidak boleh menyokong cara UMNO mengendalikan isu seperti ini ketika kita berusaha untuk menjadi parti politik dan negara bertaraf dunia," ujarnya.

Beliau juga memetik bagaimana Parti Tindakan Rakyat dan Parti Pekerja di Singapura mengkehendaki pemimpin atau ahlinya yang berdepan tuduhan rasuah sama ada berhenti atau dipecat daripada parti.

Tegasnya, ia adalah cara yang patut diamalkan parti politik bertaraf dunia yang mana DAP dan pengerusi kebangsaan patut mematuhi standard pemimpin-pemimpin ini.

Selain itu, Dr Boo memberitahu FMT bahawa beliau sedia dikritik atas kenyataan ini, namun menegaskan bahawa DAP harus berubah atau berdepan risiko kehilangan keyakinan rakyat disebabkan “sel-sel kanser”.
Next Post Previous Post