Dadah untuk pasaran Bekenu dirampas, dua sahabat diberkas

Gambar kredit Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Miri

MIRI—Polis memberkas dua sahabat kerana disyaki mengedar dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Kelulit, Bekenu, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 25 dan 44 tahun itu ditahan semasa serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Miri dan Marudi sekitar jam 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis menjumpai dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 50.40 gram dianggarkan bernilai RM5,050 yang disimpan di dalam satu paket plastik lutsinar.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenalpasti pembekal dadah yang dirampas.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (16 Mac) sehingga 23 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

Sementara itu, serbuan tersebut diketuai oleh ASP Mingat Bakil dan Inspektor Asreen Mat.
Next Post Previous Post