Cubaan seludup rokok bernilai RM5.3 juta gagal
Gambar JKDM |
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Mohd Nadzri Arifin berkata, rokok itu dirampas dalam satu operasi ke atas sebuah kapal asing yang berlabuh di Pelabuhan Bintulu.
"Operasi dilakukan berdasarkan hasil maklumat yang diperolehi daripada anggota risikan yang mana kontena berkenaan telah tiba di Pelabuhan Bintulu dari China melalui transhipment dari Vietnam.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kontena berukuran 40 kaki menemukan rokok putih yang tidak mempunyai kelulusan kastam,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd, pemeriksaan rapi yang dijalankan ke atas kontena tersebut telah menemui sebanyak 7,920,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM1.4 juta yang melibatkan anggaran cukai sebanyak RM5.3 juta.
"Kesemua barangan sudah dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut," tambahnya.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.