COVID-19 di Sarawak 1,547 kes baharu, satu kematian

Gambar hiasan

KUCHING--Jumlah kes harian jangkitan COVID-19 di Sarawak kembali mencatatkan empat angka dengan 1,547 kes baharu dan satu kematian direkodkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada jumlah itu, kategori dua (gejala ringan) merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,112 kes diikuti kategori satu (tiada gejala) 427 kes.

"Manakala kategori tiga (jangkitan paru-paru) tiga kes, kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) empat kes dan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator) satu kes.

"Dengan pertambahan jumlah kes itu menjadi jumlah kumulatif kes di Sarawak meningkat kepada 290,207 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pecahan kes mengikut daerah pula JPBNS memaklumkan, Kuching kekal merekodkan kes positif baharu tertinggi iaitu Kuching 569 kes diikuti Bintulu 191, Miri 128, Sibu 127, Samarahan 105, Serian 68, Sarikei 49, Bau 45, Sri Aman 40, Betong 21, Limbang 17, Dalat 13, Asajaya 13, Julau 12, Tebedu 12, manakala 10 kes masing-masing direkodkan di Pusa, Marudi, Lubok Antu dan Kabong.

Manakala daerah lain merekodkan kes di bawah 10 kecuali Tanjung Manis yang menunjukkan tiada kes baharu dilaporkan.

Sementara itu, satu kes kematian direkodkan pada 20 Mac melibatkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang meninggal dunia di Hospital Bintulu dan mempunyai komorbid.

Selain itu, JPBNS memberitahu tiada kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak kekal enam yang mana Kluster DTI Semuja 3, Serian merekodkan penambahan satu kes baharu.
Next Post Previous Post