Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching cetus kluster baharu di Sarawak

Foto kredit to owner 

KUCHING-- Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula pada 24 Februari lalu di Tebingan Kuching menyumbang kepada kluster baharu yang dikesan di Sarawak hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kluster itu dikenali Kluster Citrawarna yang merupakan satu kluster komuniti yang melibatkan kes-kes yang terlibat secara langsung dengan Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.

"Anggaran pengunjung adalah seramai 50,000 orang. Kes indeks (Kes Ke-259147) bagi kluster ini merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun; seorang warganegara tempatan, yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 27 Februari 2022 di sebuah hospital perubatan swasta di Kuching.

"Seramai 58 orang kontak rapat telah dikenal pasti dan menjalani saringan, di mana 21 orang (termasuk kes indeks) telah dikesan positif," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Sementara 32 individu didapati negatif manakala enam masih menunggu keputusan.

Jelasnya, kesemua individu terlibat kini ditempatkan di Hospital Umum Sarawak dan PKRC di Kuching.

Mengulas lanjut, JPBNS berkata perebakan jangkitan dipercayai berpunca dari pergaulan dan kontak rapat dalam kalangan mereka semasa menghadiri program tersebut dan telah merebak sehingga ke generasi jangkitan kedua.

"Dimaklumkan juga terdapat seramai 24
kes positif lain yang telah dilaporkan
(bukan dari kluster ini) turut mempunyai
sejarah pergerakan menghadiri Program
Citrawarna tersebut.

"Sehubungan dengan itu, individu yang
mempunyai sejarah menghadiri Program
Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang
berlangsung selama empat hari bermula
pada 24 Februari 2022 di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak dinasihatkan untuk membuat pemantauan kendiri dan membuat saringan kendiri sekiranya mengalami sebarang tanda dan gejala," ujarnya.

Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menghadiri aktiviti perkumpulan yang melibatkan ramai peserta atau hadirin di mana SOP sukar dipatuhi, terutamanya jika mempunyai gejala atau telah dikesan positif. 

Tegasnya, semua individu harus memainkan peranan masing-masing dan menjalani ujian kendiri sekiranya mempunyai gejala, atau sebelum menyertai aktiviti yang melibatkan ramai orang atau golongan berisiko tinggi.

Berhubung kes positif baharu, JPBNS memaklumkan sebanyak 1,727 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 272,142 kes.

"Dua kematian direkodkan hari ini membabitkan seorang lelaki berusia 72 tahun di Hospital Kapit dan seorang wanita berusia 60 tahun di Hospital Mukah yang masing-masing mempunyai latar belakang penyakit ko-morbid.
Next Post Previous Post